Monday, 20 June 2011

Majlis Tilawah Al-Quran Anak Yatim Peringkat Kebangsaan ASEAN

Adik-adik dari Rumah Anak Yatim (RAY)Tambunan telah menyertai Majlis Tilawah Al-Quran(MTQ) Anak Yatim Peringkat Kebangsaan ASEAN pada 4hb hingga 9hb Jun 2011 yang lalu, bertempat di Negeri Sembilan.

Alhamdulillah, penat lelah adik-adik RAY dalam perjalanan ke Negeri Sembilan ni tidak sia-sia kerana mereka memenangi beberapa anugerah sepanjang MTQ berlangsung.

Antara kemenangan yang adik-adik RAY miliki ialah JOHAN dalam empat pertandingan iaitu pertandingan AZAN, pertandingan BERZANJI LELAKI, pertandingan BERZANJI PEREMPUAN, dan pertandingan HAFAZAN PEREMPUAN kategori sekolah rendah. Subhanallah, adik-adik RAY mempunyai bakat yg besar dlm diri mereka. Selain itu, adik-adik RAY juga mendapat satu NAIB JOHAN dan tiga TEMPAT KETIGA. Keseluruhannya, RAY Tambunan mendapat tempat ketiga dalam MTQ Anak Yatim Peringkat Kebangsaan ASEAN ni, subhanaallah, Alhamdulillah.

Semoga adik-adik RAY Tambunan mengecapi kemenangan demi kemenangan dalam MTQ yang akan datang, insyaAllah.

Ustazah Lamiah dan Ustaz Saifudin memegang piala Johan yang dimenangi adik-adik RAY.

Adik Nurhasfirah Rosin (kiri)  johan dalam pertandingan hafazan kategori perempuan sekolah rendah.

Adik Sazwina Rasmin peserta hafazan RAY Tambunan yang mendapat tempat ke-2 dalam petandingan hafazan. 

Wajah-wajah ceria adik-adik RAY Tambunan di KLIA.

senyum sakan... =)

Thursday, 16 June 2011

Bagaimana Untuk Menyumbang Sedekah Jariah/Derma Untuk Anak-anak Yatim

Sebarang sumbangan samada barang, wang tunai atau cek hendaklah diserahkan terus kepada Rumah Anak Yatim Tambunan tanpa melalui perantaraan dari mana-mana persatuan.

Alamat Rumah Anak Yatim Tambunan adalah seperti berikut:

Pengetua,
Rumah Anak Yatim Tambunan,
Peti Surat 36,
89657 Tambunan.

No. Tel: 087-774120
Fax: 087-774170

Sumbangan Kewangan Dan Pembiayaan

Punca sumber pembiayaan kewangan Rumah AnakYatim Tambunan adalah terdiri dari:
  • Kerajaan Negeri Sabah melalui Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Sabah (JHEAINS) dan,
  • Sumbangan derma dari orang awam samada individu, pertubuhan dan syarikat melalui Tabung Amanah Rumah Anak Yatim Tambunan.

Golongan Sasar

Golongan sasar yang diberi perhatian khusus oleh institusi ini ialah sepertimana yang disebut dalam Al-Quran dan Hadis, anak yatim piatu yang terputus segala pergantungan hidup di dunia ini.

Syarat-syarat berikut adalah ditetapkan:
  1. Anak yang kematian ibu dan bapa.
  2. Anak yang kematian bapa.
  3. Anak yang kematian ibu.
  4. Umur dari 7 tahun hingga 12 tahun ketika memohon. (Had penjagaan ialah sehingga 19 tahun).
  5. Beragama Islam (anak yang bukan beragama Islam boleh dipertimbangkan dengan syarat penjaganya memberikan persetujuan bertulis bahawa anak itu boleh dididik dengan didikan Islam).
  6. Setiap permohonan hendaklah disertakan dengan sijil kematian ibu dan bapa yang telah disahkan oleh Pegawai Pendaftaran.
  7. Salinan surat beranak yang telah disahkan.
  8. Semua permohonan hendaklah disahkan dan disokong oleh orang-orang tertentu seperti:
    • Imam Kampung dan Ketua Kampung.
    • Pegawai Kebajikan Daerah.
    • Pegawai Perhubungan atau Penolong Pegawai Perhubungan JHEAINS.
    • Pegawai Perubatan.
    •  Penyelia Sekolah/ Guru Besar Sekolah.
  9. Setiap permohonan hendaklah disertakan salinan Kad Pengenalan Ibu, Bapa atau Penjaga.
  10. Borang-borang permohonan boleh didapati di Rumah Anak Yatim Tambunan atau Pejabat-Pejabat Perhubungan Daerah JHEAINS.
  11. Warganegara Malaysia berasal di Negeri Sabah.
  12. Semua borang permohonan yang telah lengkap diisi berserta dengan dokumen yang diperlukan hendaklah dihantar dengan dokumen yang diperlukan hendaklah dihantar dengan tangan atau pos kepada;    Pengetua,
    Rumah Anak Yatim,
    Peti Surat 36,
    89657 Tambunan.
  13. Pegawai atau kakitangan Rumah Anak Yatim akan membuat penyiasatan sebaik menerima permohonan.
  14. Sekiranya tidak mendapat sebarang jawapan dalam masa sebulan setelah penyiasatan, anggaplah permohonan tuan/puan tidak Berjaya.
  15. Ibu, bapa atau penjaga tidak dibenarkan menghantar anak ke Rumah Anak Yatim sebelum mendapat kelulusan bertulis.
  16. Setelah mendapat kelulusan, ibu, bapa atau penjaga hendaklah menandatangani borang-borang berikut:
    • Surat akuan memberi kebenaran dan melepaskan anak tersebut mengambil bahagian dalam sebarang aktiviti yang dianjurkan oleh Rumah Anak Yatim atau sekolah seperti bersukan dan lawatan.
    • Surat akuan memberi kebenaran kepada Pengetua Rumah Anak Yatim bagi pihak ibu, bapa atau penjaga, menandatangani dokumen pembedahan ke atas anak berkenaan apabila doperlukan oleh pihak Hospital atau Pegawai Perubatan.

Fungsi

  • Mengurus kemasukan anak-anak yatim sesuai dengan kehendak syara'.
  • Menyelenggara dan mencadangkan pembaikan institusi RAY kepada Pengurusan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah.
  • Memberikan keselesaan, kebajikan, pendidikan yang secukupnya kepada anak-anak yatim.
  • Menjadi Urusetia kepada Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah dan Lembaga Pengurusan RAY bagi membentuk anak-anak yatim menjadi insan yang beriman, beramal dan bertakwa. 

Objektif dan Matlamat

  • Melaksanakan tugas yang dikehendaki oleh agama Islam iaitu membantu anak-anak yatim agar dapat menikmati kehidupan yang sempurna di tengah-tengah masyarakat.
  • Menyediakan tempat yang sempurna dan selesa untuk didiami oleh anak-anak yatim.
  • Mendidik dan membimbing anak-anak yatim melalui pendidikan formal dan informal samada ilmu dunia ataupun akhirat agar memperoleh pencapaian yang cemerlang pada masa akan datang.
  • Melahirkan warga anak yatim yang boleh berdikari, berakhlak tinggi, berilmu, beriman dan bertakwa.
  • Menunjukkan keprihatinan Islam terhadap kebajikan anak-anak yatim yang tidak berkemampuan dalam menghadapi perkembangan hidup di tengah-tengah masyarakat.

Falsafah

Mengutamakan pencapaian kecemerlangan akademik dan sahsiah berlandaskan Tarbiah Islamiah dengan menekankan potensi Jasmani dan Rohani supaya menjadi warga muslim yang bertaqwa, berilmu, beramal, berakhlak mulia sesuai dengan tuntutan agama, berakhlak mulia sesuai dengan tuntutan agama, bangsa dan negara.

Tuesday, 14 June 2011

Sejarah Ringkas Pembinaan Dan Penubuhan Rumah Anak Yatim (RAY) Tambunan

Rumah Anak Yatim Tambunan ialah satu-satunya institusi kebajikan yang ditadbir oleh Majlis Ugama Islam Sabah. Sekarang apabila Majlis Ugama Islam Sabah telah di Jabatankan sebahagian daripada fungsinya, Rumah Anak Yatim Tambunan telah ditadbirkan oleh Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah pada tahun 1997.

Sejarah penubuhan dan pembinaan institusi ini adalah diilhamkan oleh mantan Ketua Menteri Sabah Y.A.B Dato Harris Mohd. Salleh.

Pembinaan Kompleks ini bermula pada awal tahun 1981 dan siap pada tahun November 1983 di atas sebidang tanah seluas 15 ekar dengan kos perbelanjaan berjumlah RM5.3 juta.

Rumah Anak Yatim ini mula beroperasi dengan menerima penghuninya pada bulan November 1983 seramai 54 orang sahaja daripada pelbagai suku kaum yang datang dari seluruh pelusuk negeri Sabah.

Rumah anak yatim yang tersergam indah di daerah yang aman dengan alam semulajadi berbukit dan menghijau ini dengan rasminya dibuka oleh Y.A.B Dato Musa Hitam iaitu Timbalan Perdana Menteri Malaysia pada 3 Ogos 1984 bersamaan hari Jumaat 5 Zulkaedah 1403H.